Surah ini ialah surah yang paling panjang sekali diantara surah-surah Al-Quran iaitu mengandungi 286 ayat dan meliputi juz 1, 2 dan 3/8 dari juz ke-3. Surah Al-Baqarah ini diturunkan di Madinah sebaik-baik sahaja Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara merdeka yakni Negara Islam, yang berpenduduk bukan sahaja dari orang-orang Islam tetapi juga sebahagian kecil diantaranya ialah orang-orang Yahudi dan lain-lain.
Bagi memenuhi hajat umat Islam yang baharu terbentuk itu, yang memerlukan hukum-hukum syara' untuk mengatur hidupnya supaya selamat sempurna, dan memandu usaha mengembangkan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam, maka turunlah ayat-ayat suci yang terkandung didalam Surah Al-Baqarah ini dari semasa ke semasa, menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku, memenuhi maksud-maksud dan tujuan yang tersebut.
Kandungan Surah Al-Baqarah ini pada umumnya terbahagi kepada 2 bahagian:
- Dalam bahagian pertama - kecuali beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menegaskan kebenaran Al-Quran dan menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi, dan tentang balasan baik (nikmat syurga), dan balasan buruk (azab neraka), dan juga tentang perihal Nabi Adam a.s serta keingkaran Iblis - mulai dari ayat 39, firman Allah Ta'ala ditujukan kepada kaum musyrik Arab dan kaum Yahudi supaya mereka memeluk Islam, dengan beriman kepada Kitab Allah Al-Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad SAW.
- Dalam bahagian kedua - diterangkan secara luas tentang hukum syara' bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi: Ibadat (solat, zakat, puasa, haji dan pelbagai jenis kebajikan); Muamalat (jualbeli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya); Munakahat (nikah kahwin, talaq dan segala yang sehubungan dengannya); Jinayat (jenayah serta soal-soal umum yang lain)
Dalam Sahih Muslim ada satu hadis yang maksudnya: "Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak) dan membiarkannya menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa, dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.
Semoga dengan penerangan ringkasan ini dapat difahami maksud sebenar surah ini dan sejarah penurunannya.
Wallahuwaklam
Semoga dengan penerangan ringkasan ini dapat difahami maksud sebenar surah ini dan sejarah penurunannya.
Wallahuwaklam
No comments:
Post a Comment