Assalamualaikum w.b.t
Bersyukur kita kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, diberi rezeki dan umur kepada kita semua untuk bertemu bulan Ramadhan Al-Mubaraq yang penuh keberkatan. Malam ini akan bermulalah Solat Tarawih berjemaah disurau-surau dan masjid seluruh negara.
Begitu juga dengan Surau At-Tarbiyyah, persiapan telah pun diatur menjelang Ramadhan kali ini. Mulai petang semalam, ahli qariah telah diimamkan oleh imam jemputan kita, anak-anak tahfiz sekolah pondok dari Pattani, Selatan Thailand.
Dalam usia yang muda 18 dan 20 tahun, mereka sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata memenuhi jemputan kita untuk bersama-sama ahli qariah bersolat Tarawih. Mulai malam tadi, mereka telah pun memulakan tugas sebagai Imam untuk solat maghrib dan Isyak, serta subuh hari ini.
Insyallah, mereka akan mengimami Solat Tarawih kita pada kali ini. Bersama-samalah kita memenuhi ruang solat seawal masuk waktu Isyak untuk bersama-sama mengerjakan solat sunat Tarawih, bertazkirah, bertahlil dan seterusnya bertadarus Al-Quran selepas selesai solat Tarawih.
Kami mengalu-alukan penyertaan semua ahli qariah untuk bersama-sama bertadarus disamping membetulkan bacaan masing-masing. Tidak ada apa yang lebih mulia selain mengisi masa dengan bacaan Al-Quran, kalam Allah, ayat-ayat Allah yang penuh keberkatan dan mukjizat.
Marilah kita sama-sama menghayati erti Ramadhan yang sebenar, menjalani ibadah puasa dengan kadar yang terbaik, lebih baik dari tahun-tahun yang lalu, mungkin inikah Ramadhan kita yang terakhir, ambillah kesempatan yang Allah berikan ini dimana bulan yang lebih baik dari seribu bulan.
Bulan ini juga adalah bulan yang digalakkan amalan bersedekah, apatah lagi meraikan atau menjamu anak-anak yatim berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma.
Semoga kita semua memperolehi keberkatan dari Allah SWT dan dapat mengharungi cabaran Ramadhan dengan kesabaran. Insyallah
No comments:
Post a Comment