---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Tuesday, January 7, 2025

Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan



عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يدع هؤلاء الكلمات إذا أصبح وَإذا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Daripada Ibn Umar RA berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Peliharalah aku dari hadapan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu daripada ancaman yang datang (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa memohon kepada Allah kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah.

2.  Keselamatan di dunia dan akhirat adalah nikmat terbesar yang sering dilupakan manusia. Doa ini mengingatkan agar kita sentiasa mensyukuri nikmat tersebut.

3. Antara doa seorang Muslim adalah memohon keampunan iaitu  pelepasan daripada melakukan dosa dan memohon afiyah iaitu keselamatan di dunia dan akhirat.

3.  Syarah Sunan Ibn Majah menjelaskan: memohon ‘afiyah adalah memohon  keselamatan daripada sebarang kerosakan dan juga kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

4.  Menurut Imam al-Nawawi: makna ‘afiyah di dalam doa di atas, adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

5.  Syeikh al-Munawi menjelaskan: ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

6.  Doa ini memohon keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala bentuk fitnah, pada tubuh badan daripada segala penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah. Hal ini termasuklah perlindungan daripada pelbagai wabak penyakit.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Doa ini mengandungi permohonan keampunan juga keselamatan hidup di dunia dan akhirat.  Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta melindungi kita daripada segala perkara yang tidak baik yang mungkin datang dari segala penjuru dan arah. Semoga kita selamat di dunia mahupun di hari akhirat.


No comments:

Post a Comment